Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menunggu keputusan dan panduan kepimpinan peringkat nasional berhubung cadangan mewujudkan undang-undang bagi memastikan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) diberikan secara sama rata kepada wakil rakyat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata perkara tersebut telah dibangkitkan kepadanya oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo dan akan dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat parti.
Menurut Kon Yeow, isu peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang bukan perkara baharu dan sering dibangkitkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Kerajaan Negeri katanya telah menyediakan peruntukan kepada ADUN pembangkang sejak beberapa tahun lalu, dengan setiap ADUN pembangkang ketika ini menerima RM60,000 dalam bentuk peruntukan kawasan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow menyifatkan masih terlalu awal untuk menyatakan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Kawan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain memaklumkan belum ada perbincangan dengan akar umbi parti mengenai pencalonannya.
Mengenai penahanan lima individu berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan pelupusan lapan bidang tanah di Pulau Pinang, beliau berkata perkara tersebut perlu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

