Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan komitmen membantu golongan pesawah padi dan petani sayur menerusi Program Penyerahan Bantuan Sara Hidup One-Off Tahun 2026 yang diadakan di Bumbung Lima, Seberang Perai Utara.
Program tersebut disempurnakan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, YB Dato’ Haji Rashidi Zinol, sebagai usaha meringankan beban golongan petani yang berdepan peningkatan kos sara hidup dan pengeluaran pertanian.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan warga tani yang memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan terjamin.
Golongan pesawah dan petani bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian, malah menjadi antara tunjang utama dalam memperkukuh keterjaminan makanan negeri.
Rashidi turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan perhatian terhadap keperluan golongan petani di samping memperkukuh pembangunan sektor pertanian secara berterusan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang serta agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atas kerjasama menjayakan program berkenaan demi kesejahteraan warga tani.

