UtamaBeritaRancangan Tempatan Seberang Perai 2030 Dijangka Diwartakan Oktober Ini

Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030 Dijangka Diwartakan Oktober Ini

Rancangan Tempatan (RT) Seberang Perai 2030 yang bakal menjadi Rancangan Tempatan pertama di Pulau Pinang dijangka diwartakan selewat-lewatnya pada Oktober tahun ini, sekali gus menjadi dokumen perancangan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan fizikal dan guna tanah di Seberang Perai bagi tempoh jangka panjang. Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pewartaan tersebut akan menjadi satu pencapaian besar selepas melalui proses penyediaan yang panjang serta pelbagai peringkat semakan dan libat urus bersama pihak berkepentingan.

Menurut beliau, Rancangan Tempatan Seberang Perai akan menyediakan rangka kerja pembangunan yang lebih komprehensif bagi memastikan penggunaan tanah dapat dioptimumkan, selain mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan keperluan komuniti dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri kekal komited untuk menarik pelaburan baharu serta membangunkan infrastruktur, namun pada masa sama memastikan kemudahan awam dan komuniti dirancang secara seimbang agar manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Kon Yeow turut memaklumkan bahawa proses pameran awam bagi Rancangan Tempatan Seberang Perai telah selesai dan kini memasuki fasa akhir sebelum pewartaan.

Beliau menjelaskan bahawa selepas pelan tersebut diwartakan, sebarang permohonan penukaran zon guna tanah masih boleh dipertimbangkan, namun pelaksanaannya akan dibuat secara lebih tersusun serta tertakluk kepada proses perundangan yang lebih ketat.

Antaranya termasuk keperluan mengadakan pameran awam dan sesi pendengaran awam sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Negeri bercadang mengubah pendekatan sedia ada dengan mengumpulkan sejumlah permohonan penukaran zon terlebih dahulu sebelum menjalankan semakan secara rasmi sekali setiap satu atau dua tahun.

Pendekatan tersebut diyakini mampu memberikan lebih kepastian, ketelusan dan konsistensi dalam proses membuat keputusan berkaitan perancangan pembangunan, berbanding mempertimbangkan setiap permohonan secara berasingan sebaik sahaja diterima.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata Draf Rancangan Tempatan (Pulau) Pulau Pinang 2030 masih dalam proses semakan semula selepas beberapa kelemahan dikenal pasti dalam draf terdahulu.

Beliau memaklumkan bahawa draf yang telah diperbaiki itu masih perlu melalui proses pameran awam sebelum diteruskan ke peringkat seterusnya, namun yakin keseluruhan proses dapat diselesaikan dalam tempoh kira-kira setahun dan sebelum tahun 2030.

Beliau menyifatkan pewartaan Rancangan Tempatan Seberang Perai sebagai satu pencapaian penting yang bakal menjadi asas kepada pembangunan negeri yang lebih mampan, terancang dan memenuhi keperluan rakyat pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments