Projek penyediaan semula dan konservasi Parit Kubu (Moat) Kota Cornwallis kini menghampiri fasa akhir pelaksanaan, sekali gus mengembalikan semula keunikan salah satu tapak warisan paling bersejarah di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, usaha konservasi tersebut bukan sahaja bertujuan memelihara nilai sejarah Kota Cornwallis, malah meningkatkan daya tarikan kawasan berkenaan sebagai destinasi pelancongan dan warisan bertaraf dunia.
Menurut beliau, kerja-kerja naik taraf yang telah siap serta yang masih sedang dilaksanakan berjaya menghidupkan kembali suasana dan identiti asal kubu bersejarah itu.
Beliau turut mengambil peluang meninjau kawasan projek dengan lebih dekat serta beramah mesra bersama penduduk setempat, peniaga, pengunjung dan pelancong yang mengunjungi lokasi tersebut untuk menikmati suasana petang di kawasan berkenaan.
Kon Yeow berharap projek konservasi ini akan terus memperkukuh usaha pemeliharaan warisan sejarah negeri di samping memberi pengalaman baharu kepada orang ramai untuk menghayati keindahan dan nilai sejarah Kota Cornwallis.

Beliau turut mengajak orang ramai menantikan pembukaan rasmi projek tersebut yang dijangka memperkenalkan wajah baharu kubu ikonik itu kepada masyarakat dan pelancong.

