Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa setiap pelaburan dan pembangunan baharu di Pulau Pinang perlu memberi manfaat sebenar kepada rakyat, bukan sekadar menyumbang kepada angka pertumbuhan ekonomi.
Menurut beliau, kejayaan sesuatu pelaburan harus diukur melalui peluang pekerjaan berkualiti, limpahan ekonomi kepada perusahaan tempatan, peningkatan aktiviti perniagaan serta taraf hidup rakyat yang lebih baik.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan rasmi pertama ke Northern Heart Hospital Penang, yang kini menggaji seramai 235 pekerja aktif dengan kira-kira separuh daripadanya merupakan anak jati Pulau Pinang.
Dalam lawatan tersebut, Beliau turut memuji inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) hospital berkenaan yang menyediakan prosedur Percutaneous Coronary Intervention (PCI) secara percuma kepada pesakit B40, selain menyambut baik perancangan hospital untuk membantu lebih ramai pesakit tahun ini.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi negeri melalui penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, sokongan kepada perusahaan tempatan serta pembangunan pelancongan perubatan.
Pulau Pinang kini menyumbang 45 peratus daripada keseluruhan hasil pelancongan perubatan negara, dengan lebih 500,000 pesakit antarabangsa mendapatkan rawatan di negeri ini tahun lalu, sekali gus menjana pendapatan melebihi RM1 bilion.

