Pulau Pinang kembali menyertai Pekan Raya Sumatera Utara (PRSU) selepas dua tahun dengan membawa misi memperkukuh kerjasama perdagangan, pelancongan, pelaburan dan pendidikan bersama Sumatera Utara.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, penyertaan dalam PRSU Ke-50 bukan lagi tertumpu kepada promosi makanan semata-mata, sebaliknya mengetengahkan keseluruhan ekosistem ekonomi negeri termasuk sektor pelancongan, pelancongan kesihatan, pendidikan tinggi, hartanah, sukan dan peluang pelaburan kepada pasaran Indonesia.
Menurut beliau, hubungan Pulau Pinang dan Sumatera Utara yang terjalin sejak tahun 1983 terus diperkukuh menerusi pelbagai pertemuan bersama agensi kerajaan, pemain industri serta syarikat dari Sumatera Utara dan Aceh.
Antara program utama ialah sesi padanan perniagaan di Konsulat Jeneral Malaysia di Medan yang menghimpunkan syarikat dari Malaysia dan Indonesia bagi meneroka peluang kerjasama serta urus niaga baharu.
Beliau turut menjelaskan bahawa kira-kira 20 usahawan Pulau Pinang dipilih secara bergilir untuk menyertai PRSU daripada lebih 60 syarikat yang memohon, berdasarkan kesediaan mereka menembusi pasaran eksport.
Dalam pada itu, Goh berkata Kerajaan Negeri bercadang memanfaatkan Pavilion Pulau Pinang di Medan dengan menyertai lebih banyak pameran di Sumatera Utara bagi memastikan promosi negeri dilaksanakan secara berterusan.
Sepanjang PRSU yang berlangsung sehingga 2 Ogos ini, Pavilion Pulau Pinang turut menampilkan pelbagai produk dan tarikan negeri termasuk makanan ikonik seperti nasi kandar, pasembor, mi sotong, mi udang, mi Jawa, roti Benggali dan roti canai terbang sebagai usaha memperkenalkan keunikan Pulau Pinang kepada kira-kira 300,000 pengunjung yang dijangka hadir.

