Pembukaan makmal ujian baharu Setsco QAV Technologies Sdn. Bhd. di Pulau Pinang disifatkan sebagai satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelaburan tersebut bukan sahaja meningkatkan keupayaan inovasi, pengurusan kualiti dan pensijilan, malah memperkukuh daya saing Pulau Pinang sebagai hab utama industri semikonduktor, elektronik dan pembuatan termaju di rantau ini.
Menurut beliau, makmal berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk ujian keserasian elektromagnet (EMC), keselamatan produk, kecekapan tenaga, kejuruteraan akustik, ujian tanpa wayar serta pensijilan antarabangsa.
Kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada sektor pembuatan elektronik, automotif dan industri di wilayah utara dengan membantu syarikat mempercepatkan proses pengesahan produk, mengurangkan kebergantungan kepada makmal luar negara serta mempercepatkan pengkomersialan produk.

Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2025 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM130.3 bilion, manakala pelaburan pembuatan yang diluluskan bagi suku pertama 2026 mencecah RM4.9 bilion.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan InvestPenang, MITI, MIDA serta rakan industri bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh pembangunan industri secara mampan.

