Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memberi penekanan kepada pendekatan Ekonomi Sara Hidup bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pembangunan negeri secara adil dan menyeluruh.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, walaupun Pulau Pinang terus mencatat kejayaan dalam menarik pelaburan asing dan pembangunan industri, keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan manfaat tersebut turut dirasai oleh peniaga kecil, keluarga dan komuniti di peringkat akar umbi melalui peningkatan pendapatan serta kesejahteraan hidup.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri juga giat mempercepat pembangunan di Seberang Perai, khususnya di kawasan Seberang Perai Utara menerusi pelaksanaan projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua dan Laluan Mutiara LRT, selain terus melaksanakan dasar yang menyokong perusahaan tempatan, penjaja dan isi rumah.
Pada masa sama, pembangunan negeri perlu dilaksanakan secara inklusif agar tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati kemajuan yang dicapai.
Selain aspek ekonomi, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada pemeliharaan warisan budaya dan keharmonian antara agama melalui pelaksanaan pangkalan data elektronik Rumah Ibadat Bukan Islam (e-RIBI).
Beliau turut menggesa rumah-rumah ibadat yang masih belum berdaftar supaya menyertai sistem tersebut bagi memudahkan perancangan pembangunan, pemeliharaan warisan serta membolehkan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan sewajarnya pada masa hadapan.

