Pulau Pinang sebagai antara penyumbang utama hasil negara wajar menerima pulangan pembangunan yang lebih seimbang selaras dengan sumbangan besarnya kepada ekonomi negara.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perkara itu bukanlah tuntutan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya permohonan yang adil bagi memastikan lebih banyak projek pembangunan dan kemudahan dapat dilaksanakan demi manfaat rakyat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Menaik Taraf Astaka Kampung Melayu di Air Itam.
Menurut beliau, Pulau Pinang terus mencatat prestasi cemerlang sebagai antara negeri teratas dalam pelaburan asing dan domestik, selain menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah eksport negara.
Katanya, pencapaian tersebut tidak seharusnya dilihat sekadar angka, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa prinsip Persekutuan tetap dihormati dengan setiap negeri memainkan peranan masing-masing dalam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata pelaksanaan projek infrastruktur memerlukan tempoh yang lebih panjang bagi memastikan kemudahan rakyat dapat dipertingkatkan secara berperingkat dan mampan.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, institusi pendidikan serta komuniti setempat untuk terus berganding bahu memperkukuh pembangunan negeri agar manfaatnya dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat Pulau Pinang.

