Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda sekuriti makanan menerusi penerokaan kerjasama strategik dengan Sumatera Utara yang berpotensi menjadi hab pembekalan bahan mentah bagi menyokong industri pembuatan makanan serta mewujudkan peluang pelaburan baharu.
Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik berkata, kerjasama tersebut akan memanfaatkan kekuatan Sumatera Utara dalam sektor pertanian dan akuakultur, manakala Pulau Pinang menyumbang kepakaran dalam teknologi, pemprosesan makanan dan pengurusan rantaian bekalan.
Menurut beliau, Pulau Pinang sedang meneroka peluang mendapatkan bekalan bahan mentah daripada Sumatera Utara bagi memenuhi keperluan industri makanan tempatan, selain membantu meningkatkan nilai produk melalui pematuhan piawaian antarabangsa seperti HACCP, GMP, ISO dan Pensijilan Halal Malaysia.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerjasama itu tidak melibatkan pemerolehan tanah, sebaliknya memberi fokus kepada pemindahan teknologi moden, amalan pertanian terbaik serta pengukuhan keseluruhan rantaian nilai daripada pengeluaran sehingga pemasaran produk.
Mengulas lanjut, Goh berkata pandemik COVID-19 membuktikan kepentingan memperkukuh sekuriti makanan memandangkan Malaysia masih bergantung kepada import bagi memenuhi sebahagian besar keperluan makanan negara.
Sehubungan itu, beliau akan mengadakan sesi libat urus bersama pakar pertanian, pelabur dan Penang Port Sdn. Bhd. bagi meneroka model pertanian kontrak serta memperkukuh ekosistem logistik untuk memudah cara pengimportan bahan mentah dari Sumatera Utara.
Usaha tersebut diyakini bukan sahaja menjamin bekalan makanan yang lebih stabil, malah membuka peluang ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada Pulau Pinang dan Sumatera Utara.

