Pembinaan gelanggang sepak takraw berbumbung baharu di Kampung Melayu Air Itam dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan komuniti serta menggalakkan penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti riadah dan gaya hidup sihat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri itu bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk setempat, malah mampu melahirkan lebih banyak pasukan sepak takraw untuk bertanding di peringkat daerah dan negeri.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur seperti gelanggang sukan tersebut membuktikan komitmen Kerajaan dalam memastikan hasil pembangunan benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Selain merasmikan gelanggang baharu itu, siri Jelajah Ketua Menteri ke KADUN Air Itam turut diserikan dengan pengagihan 700 bekas bubur asyura kepada penduduk sebagai usaha mengeratkan hubungan komuniti dan memupuk semangat kebersamaan.
Pada masa sama, program santai bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Air Itam yang diserikan dengan jamuan durian turut menjadi platform mengukuhkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Turut hadir memeriahkan program ialah ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; barisan Ahli Majlis MBPP serta wakil MPKK Air Itam.

