Kerajaan Negeri menyambut baik pelbagai skim perlindungan baharu yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta meningkatkan kebajikan golongan pekerja di negara ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif tersebut mencerminkan transformasi positif PERKESO yang kini menawarkan perlindungan lebih menyeluruh bukan sahaja dalam aspek keselamatan pekerjaan, malah turut meliputi kebajikan dan kesejahteraan pekerja.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah PERKESO Negeri Pulau Pinang, Rafidah Abd. Rahim di Komtar. Dalam sesi tersebut, Rafidah membentangkan beberapa skim utama PERKESO termasuk Lindung Pekerja, Lindung Diri, Lindung Kerjaya dan Lindung Kasih yang dirangka bagi memperluaskan perlindungan kepada pelbagai kategori pekerja.

Beliau turut berkongsi perkembangan semasa pasaran buruh di Pulau Pinang merangkumi statistik kekosongan jawatan, pencari kerja aktif, penempatan pekerjaan serta trend kehilangan pekerjaan di negeri ini.
Mengakhiri pertemuan, kedua-dua pihak menyatakan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memperkasa pasaran pekerjaan Pulau Pinang agar lebih produktif, berdaya tahan dan berkualiti.
Ketua Menteri turut berharap inisiatif yang dilaksanakan PERKESO akan terus memberi manfaat kepada pekerja serta menyokong pembangunan sosioekonomi negeri secara mampan.

