Selepas lebih dua dekad menjadi pusat aktiviti komuniti setempat, gelanggang bola keranjang di Taman Sentul Jaya kini tampil dengan wajah baharu menerusi projek penaiktarafan yang menjadikannya sebuah fasiliti tertutup lengkap dengan kemudahan berbumbung dan lampu limpah untuk kegunaan lebih selesa, khususnya pada waktu malam.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkata, projek transformasi bernilai RM680,000 itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan komuniti yang lebih berkualiti kepada rakyat.
Menurut beliau, kos pelaksanaan projek seumpama itu semakin meningkat saban tahun dan berkemungkinan menjadi lebih tinggi sekiranya pelaksanaannya ditangguhkan.
“Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, kita telah melaksanakan tiga projek seumpama ini di Taman Kerjasama, Taman Perwira dan kini di Taman Sentul Jaya, dengan setiap projek melibatkan kos yang berbeza.
“Jika di Taman Kerjasama kosnya kurang daripada RM400,000 dan di Taman Perwira melebihi RM400,000, projek di Taman Sentul Jaya pula melibatkan peruntukan melebihi RM600,000 bagi kerja-kerja menaik taraf gelanggang sedia ada termasuk pembinaan bumbung dan kemudahan berkaitan,” katanya ketika merasmikan Gelanggang Bola Keranjang Tertutup Taman Sentul Jaya di sini pada 24 Mei 2026.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, kemudahan yang dinaik taraf itu bukan sahaja berfungsi sebagai lokasi aktiviti sukan dan riadah, malah berpotensi menjadi pusat pertemuan masyarakat untuk pelbagai program komuniti.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 17,000 penduduk sekitar, sekali gus mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kemudahan awam sentiasa berada pada tahap terbaik serta dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Kerajaan Negeri sentiasa menitikberatkan pembangunan yang seimbang dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada aspek ekonomi, tetapi juga pembangunan sosial dan pengukuhan hubungan komuniti.
“Fasiliti ini bukan sekadar tempat beriadah, malah menjadi ruang interaksi yang penting dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan generasi dalam suasana yang lebih selesa serta kondusif,” ujarnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut ialah Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Minyak Mukim 13, Chew Chin Ewo.
Hadir sama, Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik yang juga ADUN Bukit Tambun.

