Thursday, June 4, 2026
UtamaBeritaLRT, keselamatan dan kesiapsiagaan antara agenda utama pertemuan

LRT, keselamatan dan kesiapsiagaan antara agenda utama pertemuan

Kerajaan Negeri terus komited memainkan peranan sebagai pemudah cara utama dalam menjayakan agenda pembangunan Pulau Pinang dengan memastikan pelaksanaan setiap projek strategik, termasuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, berjalan secara terancang sambil mengekalkan keseimbangan antara keperluan mobiliti rakyat, aspek keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika menerima kunjungan hormat Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang baharu, Mejar Jeneral Zamsari Abu Hasan di pejabatnya pagi tadi.

Zamsari hadir bersama Pegawai Pengiring, Leftenan Kolonel Tajul Hisyam Mamat dan juruiring, Leftenan Muhammad Ilman Yusri.

Dalam sesi pertemuan tersebut, selain membincangkan perkembangan terkini Projek LRT Laluan Mutiara, kedua-dua pihak turut menyentuh langkah-langkah mitigasi yang sedang dilaksanakan bagi mengurus kesan terhadap aliran trafik di kawasan yang terlibat dengan projek berkenaan.

Menurut Kon Yeow, projek infrastruktur berimpak tinggi itu sedang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan dengan perhatian khusus diberikan kepada pelan pengurusan trafik bagi mengurangkan gangguan kepada orang ramai sepanjang tempoh pembinaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa tahap kesiapsiagaan perlu terus diperkukuhkan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk bencana alam, khususnya banjir, menerusi kerjasama erat antara pelbagai agensi berkaitan.

Sementara itu, Zamsari memaklumkan bahawa situasi keselamatan di enam negeri yang berada di bawah tanggungjawab Divisyen Kedua ketika ini berada pada tahap baik dan terkawal hasil koordinasi berterusan bersama agensi-agensi keselamatan serta pihak berkaitan.

Beliau turut menyentuh mengenai hubungan bilateral dengan negara jiran, khususnya dalam aspek kawalan sempadan yang terus diperkasa bagi memastikan keselamatan serta kestabilan serantau sentiasa terpelihara.

Selain aspek pertahanan, beliau menjelaskan bahawa kebajikan warga Divisyen Kedua turut diberikan perhatian serius termasuk melalui pelaksanaan aktiviti ekonomi komuniti dalam kem seperti projek madu kelulut dan penanaman cendawan yang mampu menjana nilai tambah kepada anggota pasukan.

Tambah beliau, terdapat pelbagai potensi kerjasama yang boleh diterokai bersama Kerajaan Negeri merangkumi aspek pengurusan bencana, pembangunan pelancongan berkaitan kawasan sempadan serta program kemasyarakatan yang dapat mengukuhkan hubungan antara pasukan keselamatan dan komuniti setempat.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik ucapan perasmian Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 8 Mei lalu yang memberi penekanan terhadap agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Pertemuan tersebut turut menyaksikan perbincangan mengenai kepentingan latihan bersama melibatkan agensi pertahanan dan keselamatan sebagai usaha mempertingkat tahap kesiapsiagaan serta keupayaan menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.

Sebagai simbol penghargaan dan hubungan baik yang terjalin antara kedua-dua pihak, Kon Yeow menerima cenderahati berupa bingkai yang memaparkan struktur pemerintahan utama di bawah naungan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia Kem Tun Razak.

Difahamkan, Zamsari yang sebelum ini berkhidmat sebagai Komandan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di Putrajaya telah mengambil alih tampuk pemerintahan Divisyen Kedua Infantri Malaysia pada Mac lalu.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments