Kerajaan Negeri akan memperluaskan pelaksanaan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan ke seluruh 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang menerusi penganjuran bersama Program Jualan Rahmah sebagai usaha membantu petani tempatan menangani isu lambakan hasil serta memperoleh harga yang lebih menguntungkan.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, inisiatif yang dilancarkan di Komtar hari ini diharap dapat memberi manfaat kepada petani tempatan, khususnya 92 pengusaha yang mengusahakan kira-kira 600 ekar tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda.
Menurut beliau, usaha tersebut juga selari dengan agenda memperkukuh keterjaminan makanan negeri serta memastikan rantaian bekalan makanan terus stabil dalam suasana ekonomi semasa yang mencabar.
“Saya mengalu-alukan usaha Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan bersama agensi-agensi berkaitan dalam sektor pertanian, perikanan dan agroteknologi untuk terus memperkukuh keterjaminan makanan serta membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.
“Kita mahu memastikan semua pihak memperoleh jaminan pendapatan dalam keadaan ekonomi yang mencabar, selain memastikan bekalan makanan kekal mencukupi supaya rantaian bekalan yang seimbang dapat diwujudkan dan memberi manfaat kepada pengusaha, penternak serta pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen tersebut di Komtar.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata demikian selepas merasmikan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan.
Turut hadir ialah Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik; Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol; Pengarah Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim dan Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda.
Majlis pelancaran tersebut turut diserikan dengan kehadiran isteri Ketua Menteri, YABhg. Puan Tan Lean Kee yang berkongsi sajian istimewa hasil air tangannya berasaskan produk tempatan.
Terdahulu, Rashidi memaklumkan bahawa pejabatnya bersama FAMA akan memperhebatkan usaha membantu petani memasarkan hasil pertanian menerusi penyertaan dalam Program Jualan Rahmah yang diadakan dua kali setiap bulan di semua KADUN di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, FAMA Pulau Pinang turut memainkan peranan dalam membantu memasarkan lebihan hasil pertanian ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain memenuhi keperluan pasaran tempatan.
“Kita mahu memastikan harga di peringkat ladang tidak terlalu rendah berbanding harga runcit yang jauh lebih tinggi di pasaran.
“Petani perlu menikmati pulangan yang setimpal dengan usaha mereka. Inilah antara langkah yang diambil bagi membantu mereka menghadapi peningkatan kos input selain membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lebih baik,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada FAMA negeri atas kerjasama yang diberikan.
Menurut maklumat yang diperoleh Buletin Mutiara, TKPM Ara Kuda menghasilkan kira-kira tiga tan metrik hasil pertanian setiap hari.
Dalam perkembangan berkaitan, Choon Aik memberi jaminan bahawa bekalan 27 jenis barangan keperluan terkawal di Pulau Pinang berada pada tahap mencukupi menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Kesemua 27 jenis barangan keperluan terkawal masih mencukupi dan harga jualannya juga kekal berada di bawah paras harga kawalan yang ditetapkan,” katanya yang juga ADUN Bukit Tambun.

