BUKIT MERTAJAM, 15 Mac – Sebanyak RM1.03 juta bantuan disalurkan kepada koperasi dan komuniti di Pulau Pinang melalui Program Coop Talk: Menteri dan Komuniti Bukit Mertajam 2026 di sini, kelmarin

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, berkata bantuan yang disalurkan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) itu bertujuan memperkukuh peranan koperasi sebagai pemacu ekonomi komuniti.
“Kita mahu koperasi bukan sahaja menjadi entiti perniagaan, malah berfungsi sebagai ejen kebajikan yang menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 secara menyeluruh,” katanya.
Seramai 400 individu daripada golongan kurang berkemampuan menerima sumbangan baucar Aidilfitri dalam satu program kebajikan yang diadakan bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya.
Inisiatif tersebut bertujuan meringankan beban kewangan penerima, khususnya menjelang perayaan yang bakal tiba. Bantuan dalam bentuk baucar itu membolehkan mereka membeli keperluan asas serta barangan persiapan Aidilfitri.
Program berkenaan turut mencerminkan keprihatinan pelbagai pihak dalam memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir dan dapat bersama-sama menikmati kemeriahan sambutan Syawal.
Para penerima yang hadir menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas sumbangan yang diberikan, yang disifatkan dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan mereka dalam menyediakan keperluan untuk keluarga.
Dalam majlis sama, sumbangan tanggungjawab sosial (CSR) turut diberikan termasuk bakul makanan kepada 50 pelajar asnaf dan pekerja am sekolah, bantuan RM1,000 dan dua unit televisyen kepada Sekolah Menenagah Kebangsaan Taman Sejahtera bagi menyokong kemudahan pembelajaran.

Sebanyak RM33,000 turut disumbangkan kepada 21 koperasi masjid di Pulau Pinang dan 12 koperasi sekolah di Parlimen Bukit Mertajam bagi membantu anggota B40 membuat persiapan Aidilfitri.
Sehingga 31 Disember 2025, Pulau Pinang merekodkan 819 koperasi dengan 171,713 anggota, aset bernilai RM1.29 bilion dan perolehan sebanyak RM848.9 juta.

