GEORGETOWN: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line dijangka membawa perubahan besar kepada sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dengan menghubungkan laluan-laluan utama di pulau itu melalui rangkaian rel yang lebih pantas dan cekap.
Salah satu komponen paling menonjol projek berkenaan ialah pembinaan jejambat merentasi laut yang menghubungkan Pulau Pinang dengan tanah besar. Laluan tersebut dijangka mengambil masa sekitar lapan minit, berbanding kira-kira 82 minit perjalanan menggunakan kenderaan ketika waktu puncak.
Pengarah Projek LRT Mutiara Line, Azmi Abd Rahman berkata sambungan itu bakal meningkatkan ketepatan masa perjalanan, khususnya bagi pengguna yang berulang-alik setiap hari antara pulau dan tanah besar untuk bekerja.
Menurutnya, kelebihan utama bukan sekadar masa perjalanan yang lebih singkat, malah jadual perjalanan yang lebih konsisten.
“Perjalanan merentasi laut dianggarkan hanya mengambil kira-kira lapan minit dan masa tersebut dijangka kekal konsisten, sekali gus memudahkan pengguna merancang perjalanan harian serta jadual kerja mereka,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kios Pemeriksaan Awam di Komtar baru-baru ini.
Azmi turut menjelaskan bahawa projek itu akan memberi manfaat kepada penduduk di bahagian pulau yang ingin meneruskan perjalanan ke negeri lain melalui rangkaian kereta api, kerana laluan tersebut boleh disambungkan dengan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) di Penang Sentral sebelum meneruskan perjalanan ke bandar seperti Kuala Lumpur.
Mengenai maklum balas orang ramai terhadap cadangan jambatan merentasi laut bagi laluan LRT berkenaan, beliau berkata respons diterima amat positif dengan lebih 90 peratus responden dalam sesi Pemeriksaan Awam setakat ini menyatakan sokongan terhadap projek itu.
Katanya, ramai yang teruja dengan pembangunan tersebut kerana ia bakal menjadi lintasan rel pertama seumpamanya di negara ini. Jambatan yang dirancang dengan ketinggian kira-kira 62 meter dari paras laut itu juga dijangka jelas kelihatan dan berpotensi menjadi mercu tanda baharu Pulau Pinang.
“Lintasan ini dijangka lebih menonjol berbanding infrastruktur sedia ada merentasi selat. Kami berharap ia dapat menjadi satu lagi struktur ikonik di Pulau Pinang serta berpotensi menarik perhatian pelancong pada masa hadapan,” katanya.
Lintasan merentasi laut sepanjang kira-kira enam kilometer itu akan menghubungkan stesen Macallum dengan Penang Sentral, dengan keseluruhan perjalanan merentasi laut dianggarkan mengambil masa sekitar lapan minit.
Jambatan yang bakal dibina itu juga dirancang setinggi 62 meter dari paras laut dan mempunyai dua span navigasi utama sepanjang 450 meter setiap satu bagi memastikan laluan selamat untuk kapal besar serta aktiviti pelabuhan.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan sesi Pemeriksaan Awam yang berlangsung selama dua minggu setakat ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk di bahagian pulau serta Seberang Perai.
“Maklum balas yang diterima sangat positif. Kami membuka tapak Pemeriksaan Awam di beberapa lokasi seperti Komtar, Penang Sentral, stesen KTM Butterworth dan beberapa kawasan lain bagi mengumpul pandangan orang ramai,” katanya.
Selain tapak pameran, pasukan projek turut menyediakan kaunter bergerak di pelbagai acara awam bagi meningkatkan penglibatan masyarakat, termasuk ketika sambutan perayaan seperti Chap Goh Meh dan Hari Raya yang akan datang.
Terdahulu, Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan pelaksanaan sesi Pemeriksaan Awam bagi mendapatkan maklum balas berhubung skim kereta api yang disemak untuk pelanjutan projek LRT Mutiara Line.
Sesi tersebut berlangsung selama tiga bulan bermula 24 Februari hingga 24 Mei, memberi peluang kepada orang ramai meneliti cadangan pelanjutan laluan, lokasi stesen serta butiran projek berkaitan.
Projek LRT Mutiara Line yang memulakan pembinaan pada 2025 dijangka mula beroperasi pada Disember 2031. Laluan sepanjang kira-kira 29.67 kilometer itu akan melibatkan 20 stesen serta dua stesen sementara.
Sebagai sistem transit metro bersepadu pertama di wilayah utara, projek ini dirancang bagi memperkukuh hubungan antara pulau dan tanah besar, di samping membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan akses pengangkutan awam.

