Kerajaan Negeri Pulau Pinang menegaskan komitmen berterusan dalam merealisasikan ‘MyPenang Manifesto’ yang diperkenalkan sempena Pilihan Raya Negeri 2023 sebagai pelan tindakan rasmi demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, manifesto berkenaan bukan sekadar janji politik, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, sehingga 30 April 2026, sebanyak 30 manifesto atau 60 peratus telah berjaya direalisasikan, manakala 17 manifesto lagi bersamaan 34 peratus sedang giat dilaksanakan.
“Hanya tiga manifesto atau enam peratus masih belum dimulakan. Pencapaian 94 peratus bagi status ‘Telah Dilaksanakan’ dan ‘Dalam Pelaksanaan’ membuktikan kesungguhan serta komitmen Kerajaan Negeri dalam menunaikan mandat rakyat,” katanya pada sidang media di Komtar di sini.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri kini menggunakan dashboard digital ‘MyPenang Manifesto’ yang dibangunkan menerusi kerjasama Pejabat Ketua Menteri, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri (BTMKN) bagi memantau kemajuan setiap manifesto secara masa nyata.
“Melalui sistem ini, pemantauan dapat dilakukan dengan lebih telus dan berkesan bagi memastikan setiap agensi pelaksana mencapai sasaran ditetapkan,” ujarnya.
Kon Yeow berkata, fokus Kerajaan Negeri kini adalah untuk memastikan baki manifesto yang belum bermula dapat digerakkan segera selain memastikan manifesto yang sedang dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual.
Dalam perkembangan sama, beberapa manifesto yang masih dalam perancangan melibatkan penubuhan tabung pembangunan sosial negeri, skim perumahan khas golongan belia dan bujang, pusat upacara kiringai serta pembinaan SJKT baharu di Pulau Pinang.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

