Thursday, May 21, 2026
UtamaBeritaPulau Pinang Tekad Bina ‘Benteng Sosial’ Tangani Gejala Buli – Ketua Menteri

Pulau Pinang Tekad Bina ‘Benteng Sosial’ Tangani Gejala Buli – Ketua Menteri

Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus komited menyokong pelbagai inisiatif kesedaran bagi membanteras gejala buli demi memastikan institusi pendidikan di negeri ini kekal selamat, harmoni dan kondusif untuk para pelajar.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, isu buli tidak lagi boleh dilihat sebagai kenakalan remaja semata-mata, sebaliknya merupakan ancaman serius terhadap kesejahteraan mental dan emosi generasi muda.

Merujuk statistik terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), beliau memaklumkan bahawa sebanyak 2,889 kes buli direkodkan di seluruh negara dengan majoritinya melibatkan pelajar sekolah menengah.

“Budaya buli sama ada secara fizikal, lisan mahupun siber mampu meninggalkan kesan trauma mendalam terhadap keyakinan diri, emosi serta masa depan anak-anak kita.

“Justeru, pendekatan berbentuk kolaboratif di peringkat akar umbi amat penting bagi membina benteng sosial yang kukuh dalam masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Sempena Hari Raya Aidiladha anjuran OHM Group pada 20 Mei 2026 di sini.

Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota dan Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji usaha penganjur bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menganjurkan Sesi Kesedaran Anti Buli Dalam Kalangan Pelajar.

Pada majlis sama, OHM Group menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada Pondok Darul Ulum Al-Filfilaniah, Madrasah Tahfiz Darul Ukasha serta Mahad Tahfiz Al Ahmad Darul Quran sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau berharap lebih banyak syarikat korporat tampil memainkan peranan dalam menyokong pembangunan masyarakat dan pendidikan di Pulau Pinang melalui pelaksanaan program CSR yang berimpak tinggi.

Turut hadir ialah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Pengerusi CSR OHM Group, Datin Ooi Seok Eng; Pengarah Eksekutif OHM Group, Ong Soo Yong serta wakil-wakil institusi tahfiz dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments