Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaKetua Menteri gesa agensi kerajaan, pemimpin beri perhatian pada pertanian tempatan

Ketua Menteri gesa agensi kerajaan, pemimpin beri perhatian pada pertanian tempatan


PENANTI – Semua agensi kerajaan dan pemimpin setempat diseru agar senantiasa turun padang bagi mendengar keperluan petani serta memastikan setiap bantuan disampaikan dengan berkesan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, menggesa semua agensi kerajaan dan pemimpin tempatan supaya lebih proaktif mendekati serta memahami isu dan keperluan sektor pertanian lokal. Beliau menekankan bahawa kerjasama rapat antara pihak kerajaan dan pengusaha pertanian penting bagi memperkukuh pembangunan pertanian negeri.

“Kepada Exco baharu yang tidak asing dengan sektor agroteknologi (iaitu Dato’ Rashidi Zinol), saya berharap YB akan memperganda usaha untuk memastikan golongan (sasar) atau sektor pertanian diberikan perhatian sewajarnya supaya para pengusaha dapat meningkatkan pendapatan masing-masing,” jelasnya pada Majlis Berbuka Puasa Rakyat Bersama-sama Warga Petani, Pesawah dan Sektor Pertanian Lokal di sini sebentar tadi.

Kon Yeow dalam pada itu turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 sebagaimana dimohon oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pelet.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Rashidi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee; Ahli Dewan Negara, Amir Md. Ghazali; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Dato’ Kamarul Haizal Koderat dan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Muhaimin Ibrahim.

Turut serta, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undanga Negeri (KADUN) Permatang Pasir, Muhammad Hamdi Md. Noor; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kampung Pelet, Mohd Fauzi Hussin dan barisan pemimpin masyarakat.

Berucap lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri hari ini memahami cabaran yang dihadapi oleh para petani khususnya berkaitan ketidakstabilan cuaca dan peningkatan kos input pertanian.

Sehubungan itu, beliau selaku Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa menerusi Belanjawan 2025/2026, sejumlah RM13.5 juta telah diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian Negeri bagi memperkasa kebajikan lebih 14,000 warta tani melalui bantuan teknikal, subsidi input serta penambahbaikan infrastruktur pengairan.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa pentadbirannya turut memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh sektor pertanian serta industri makanan tempatan termasuk pemberian insentif kepada pengusaha makanan sediaan di rumah dengan nilai permohonan keseluruhan sebanyak RM1 juta

Tambah Kon Yeow, sejumlah RM500,000 turut diperuntukkan untuk pelaksanaan Program Mekanisasi dan Automasi Pertanian.

“Walaupun Pulau Pinang berdepan (cabaran) kekangan keluasan tanah, negeri ini kekal antara pengeluar hasil padi yang konsisten di Malaysia dengan purata hasil sekitar 4.86 tan metrik sehektar.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa kegigihan warga tani kita, digabungkan dengan sokongan teknikal agensi kerajaan, mampu menghasilkan kejayaan yang membanggakan,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Berucap sebelum itu, Mohd. Fauzi berkata bahawa ini merupakan kali pertama seorang Ketua Menteri hadir pada majlis seumpama itu sejak 52 tahun PPK Kampung Pelet ditubuhkan di sini.

Beliau turut menekankan agar Exco yang baharu, khususnya yang berkaitan agroteknologi, memberi tumpuan kepada membantu petani dan pengusaha tempatan bagi meningkatkan pendapatan serta kemajuan sektor pertanian.

Selain itu, Ketua Menteri mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kampung Pelet sebagai langkah sokongan kepada komuniti pertanian setempat.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments