PERMATANG PAUH, 9 Mac – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Jamek Mengkuang Titi bersempena sambutan Nuzul al-Quran 1447 Hijrah di Mengkuang Titi, di sini kelmarin.
Program ini disertai lebih 1,500 pengunjung dan dimulakan dengan aktiviti tadarus al‑Quran 30 juz serta majlis khatam al‑Quran, hasil kolaborasi antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Belia dan Sukan melalui Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan. 

Pembinaan masjid tersebut bertujuan memenuhi keperluan umat Islam di kawasan Mengkuang Titi dan Permatang Pauh yang semakin berkembang. Selain dewan solat utama, masjid ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti bilik mesyuarat, bilik pengurusan jenazah, bilik akad nikah dan pejabat pentadbiran yang menyokong aktiviti keagamaan serta kemasyarakatan setempat. 
“Masjid ini dijangka menjadi nadi kepada masyarakat setempat sebagai pusat menimba ilmu, memperkukuh ukhuwah serta mengimarahkan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup,” katanya.

Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Inisiatif Transformasi Digital Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang merupakan kerjasama strategik antara Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan JAKIM, bertujuan memperkasakan pendidikan Islam melalui kemahiran digital. 

