Sunday, April 19, 2026
UtamaBeritaSistem pagar automatik di LTAPP beroperasi sepenuhnya mulai semalam

Sistem pagar automatik di LTAPP beroperasi sepenuhnya mulai semalam

GEORGETOWN: Sistem pagar automatik di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mula dilaksanakan sepenuhnya, semalam.

Ia sekali gus dijangka meningkatkan kecekapan pemeriksaan imigresen serta mengurangkan kesesakan penumpang di balai pelepasan dan ketibaan LTAPP.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai, berkata pelaksanaan penuh sistem itu berjalan lancar sejak mula beroperasi pada jam 6 pagi itu.

Malah, beliau berkata, ia menunjukkan impak positif terhadap aliran penumpang walaupun jumlah penerbangan kekal mengikut jadual biasa.

“Ujian penerimaan pengguna (UAT) telah selesai dijalankan, pada 11 Februari, dan mulai semalam, sistem pagar automatik baharu dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa.

“Dari jam 6 pagi hingga 3 petang, lebih 1,800 penumpang termasuk rakyat Malaysia dan pelancong asing, menggunakan kemudahan ini bagi tujuan pelepasan serta ketibaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan penuh Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) bersama pengurusan lapangan terbang, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), serta pasukan pelaksana MyNIISe di LTAPP, di sini, semalam.

Hon Wai memaklumkan sebelum ini, kesesakan sering berlaku apabila penumpang terpaksa berbaris panjang hingga ke luar kawasan kaunter.

Namun, katanya, hasil pemerhatian mendapati barisan menunggu berkurangan dengan ketara, malah berada sepenuhnya dalam kawasan digazetkan di kedua-dua balai pelepasan dan ketibaan.

Beliau berkata, bagi pelepasan, pelancong asing dari 72 negara layak menggunakan kemudahan itu, manakala ketibaan pula dibuka kepada pelawat dari 64 negara terpilih serta semua warganegara Malaysia.

“Penumpang yang kali pertama memasuki Malaysia atau menghadapi masalah teknikal seperti pasport lama, pasport tanpa cip atau cip rosak, perlu menjalani pemprosesan secara manual di kaunter imigresen bagi merekodkan maklumat biometrik mereka,” katanya.

Setakat ini, Hon Wai berkata, terdapat lima unit pagar automatik di balai pelepasan dan enam lagi di balai ketibaan, dengan perancangan fasa kedua pada tahun ini untuk menambah jumlah itu kepada 12 unit bagi setiap bahagian.

Beliau berkata, pelaksanaan penuh sistem MyNIISe itu juga tepat pada masanya menjelang musim puncak perayaan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Aidilfitri yang dijangka menyaksikan peningkatan ketibaan pelancong ke Pulau Pinang.

Pada 7 Februari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dilaporkan berkata isu kesesakan di LTAPP wajar diberikan perhatian segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran pengurusan penumpang dan mengekalkan imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan.

Kon Yeow dipetik berkata, kesesakan itu dikaitkan dengan sistem baharu yang masih dalam fasa penyesuaian, selain ketibaan penerbangan dalam tempoh hampir serentak.

Dilaporkan peningkatan kekerapan penerbangan dari China dan ketibaan yang dijadualkan rapat, telah dikenal pasti sebagai punca kesesakan di kaunter imigresen lapangan terbang itu.

Sumber : Berita Harian

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments