GEORGE TOWN – Gol tunggal pemain penyerang Douglas Coutinho pada minit ke-81 melayakkan pasukan Penang FC ke saingan separuh akhir Challenge Cup 2026.
Pada aksi timbal balik kedua sebentar tadi Penang FC menundukkn Kelantan The Red Warriors FC 1-0 setelah aksi pertama berkesudahan seri tanpa jaringan.
Gol pemain berjersi 32 itu terhasil melalui tandukan setelah Penang FC mendapat sepakan penjuru.
Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, kemenangan tetap perlu dirai walau beliau menganggap persembahan anak-anak buahnya tidak mencapai apa diharapkan.
“Kita kena faham, format piala ia agak sedikit unik walau bertemu pasukan Liga A1, mereka ‘nothing to lose’, cuma lepas perlawanan saya mahu pemain-pemain saya imbas kembali permainan, tambah baik permainan dan kurangkan kesilapan untuk perlawanan seterusnya.
“Mengenai pasukan lawan, kalau siapa faham bola sepak, pasukan Liga A1 pada mereka tiada tekanan berbanding kita, sebab itu saya lebih gemar jumpa pasukan Liga Super.
“Selepas ini ada dua minggu rehat sebelum bertemu JDT FC, masa ini akan digunakan untuk pemain-pemain pulih daripada kecederaan,” ujarnya kepada pemberita.
Bagi perlawanan separuh akhir Challenge Cup, Penang FC dijangka bertemu Imigresen FC atau Kelantan Real Warriors yang akan berentap pada 16 Februari ini.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: PENANG FC
Sumber:Buletin mutiara

