BUTTERWORTH: Malaysia berpotensi muncul sebagai hab pendaratan ikan tuna terbesar di rantau ASEAN berikutan langkah kerajaan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat utama industri berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah strategik itu bakal membuka lembaran baharu bagi sektor perikanan negara yang sebelum ini hanya menjadikan tuna sebagai hasil tangkapan laut secara sampingan.
Beliau menjelaskan, potensi industri tuna amat besar dengan pasaran global kini bernilai kira-kira AS$42 bilion setahun dan dijangka meningkat kepada AS$54 bilion pada 2032, termasuk permintaan tinggi bagi produk premium seperti tuna sejuk beku -60 darjah Celsius.
“Malaysia dengan kedudukan strategik di persimpangan maritim dunia, tidak boleh sekadar menjadi penonton. Kita mesti rebut peluang ini supaya perairan, pelabuhan, dan tenaga kerja kita menjadi sebahagian penting rantaian bekalan antarabangsa.
“Kita tidak mahu lagi hasil tangkapan bernilai tinggi didaratkan di negara jiran. Setiap kali sebuah vesel berlabuh di luar negara, kita kehilangan pekerjaan, cukai, nilai tambah, dan peluang melatih anak muda tempatan.
“Dengan infrastruktur moden di Pulau Pinang, termasuk fasiliti pendaratan eksklusif -60 darjah Celsius dan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) yang mampu mengendalikan 2.3 juta TEU setahun membuktikan Malaysia mampu bersaing dengan Singapura, Thailand dan lain-lain,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Asia Ocean Resources Sdn Bhddan Penang Port Sdn Bhd serta aktiviti pendaratan hasil ikan tuna (-60 darjah Celsius) dan pelancaran produk tuna ‘shinkai origin’.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, pendaratan ikan tuna di Pulau Pinang bukan sahaja akan meletakkan negeri itu di peta dunia, tetapi menjadikan Malaysia sebagai hab penting di rantau ini.
“Ketika sesi libat urus Belanjawan KKDW baru-baru ini, saya mencadangkan supaya diwujudkan TVET Maritim yang bersesuaian dengan ekosistem setempat, khususnya bagi meningkatkan pembabitan anak-anak muda dalam bidang ini.
“Ini memandangkan kejayaan industri bukan sekadar pada angka eksport, tetapi sejauh mana ia membuka peluang kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini, terdapat lebih 436,000 pelajar TVET berdaftar di seluruh negara, membuktikan sambutan yang cukup tinggi oleh belia tempatan terhadap TVET.
“Berikutan itu, saya mahu projek tuna premium ini bakal membuka satu lagi kluster baharu dalam ekosistem TVET Malaysia, iaitu kluster maritim dan perikanan laut dalam.
“Melalui inisitif TVET Maritim ini, para belia bukan sekadar dilatih untuk menjadi nelayan kecil, tetapi meningkatkan potensi mereka sebagai nelayan laut dalam dan usahawan,” katanya.
Sumber : Berita Harian