Projek naik taraf Kolam Renang Jalan Betek yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan peruntukan berjumlah RM3.76 juta mendapat pujian Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang menyifatkannya sebagai pelaburan penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, projek yang telah lama dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri itu akhirnya berjaya direalisasikan bagi menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi yang lebih selesa, selamat serta berkualiti kepada masyarakat.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri bersama MBSP sentiasa komited melaksanakan projek-projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh kemudahan awam dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.
Selain kolam renang yang dinaik taraf, kawasan rekreasi berhampiran seperti Wood Havens turut menjadi destinasi riadah popular dalam kalangan penduduk Seberang Perai, sekali gus menyokong usaha membentuk komuniti yang aktif dan sejahtera.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan bahawa projek naik taraf menyeluruh yang bermula sejak Februari tahun lalu kini telah siap sepenuhnya dan dijangka dibuka semula kepada orang ramai pada penghujung bulan ini.
Projek tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf kolam renang, bilik persalinan, tandas baharu termasuk kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU), selain penambahbaikan sistem dan pemasangan lampu.
MBSP turut memperkenalkan kadar keahlian bulanan dan tahunan sebagai nilai tambah kepada pengguna tetap, sekali gus menjadikan kemudahan tersebut lebih mudah diakses oleh masyarakat.

