BUTTERWORTH – Lebih 10,000 pengunjung membanjiri PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena malam semalam sempena Sambutan Hari Malaysia 2025.
Sambutan itu yang bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri Pulau Pinang.
Acara dimulakan dengan persembahan Selamat Datang “Rentak Tradisi Pulau Mutiara” yang mengetengahkan pelbagai keunikan budaya Pulau Pinang sebagai negeri yang kaya dengan warisan seni.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib menyempurnakan simbolik perasmian sambutan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Acara diteruskan dengan sesi menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2025 dan upacara memotong kek Hari Malaysia ke-62.

Sementara itu, Perdana Menteri juga telah menyampaikan hadiah utama “Gerakan Bersama Malaysiaku” berupa sebuah kereta Proton e.MAS, sebuah Proton X70 dan sebuah motosikal Modenas kepada tiga pemenang bertuah.
Persembahan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” yang dimanifestasikan secara kreatif dalam alunan muzik oleh Orkestra Tradisional Malaysia Istana Budaya turut menyerikan acara sambutan.

Orkestra itu mengiringi nyanyian lima artis tanah air serta tarian gabungan lapan kumpulan pelbagai budaya dan etnik di Malaysia yang penuh warna-warni sebelum diakhiri dengan pertunjukan bunga api.
Sambutan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya pameran “Menelusuri Zaman”, galeri foto, DJ Corner RTM dan Astro Audio KITA FM, Kempen Internet Selamat, demonstrasi makanan dan pakaian tradisional, pertandingan mewarna keluarga, kuiz Kahoot serta trak makanan.

Hadir sama, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2025, Chow Kon Yeow; menteri-menteri Kabinet; kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan negeri Sarawak.
Sumber : Malaysiatribune

