Wednesday, December 17, 2025
UtamaBeritaIsu sijil halal premis makanan Bayan Lepas selesai, video lama disebar semula

Isu sijil halal premis makanan Bayan Lepas selesai, video lama disebar semula

GEORGE TOWN, 11 September – Klip video yang kembali tular memaparkan teguran seorang individu terhadap sebuah premis makanan berhubung sijil halal sebenarnya merupakan rakaman lama yang sudah ditangani pihak berkuasa sejak Julai lalu.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, semakan mendapati premis tersebut beroperasi di sebuah pusat beli-belah di Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas bukan di sebuah pasar raya di Sungai Dua seperti yang didakwa.

Beliau menjelaskan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) melalui Bahagian Pengurusan Halal telah menjalankan pemeriksaan di premis itu pada 8 Julai selepas menerima aduan berkaitan.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, didapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan tidak lagi mempamerkan salinan sijil rumah sembelihan.

“Pihak pengusaha juga diingatkan supaya tidak mempamerkan sijil halal milik syarikat lain kerana tindakan sebegitu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Malah, hasil pemeriksaan itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pensijilan Halal Malaysia Negeri Pulau Pinang Bilangan 11 Tahun 2025 pada 15 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad, susulan penularan semula video berkenaan, JHEAIPP bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang sekali lagi melakukan pemeriksaan semalam.

“Pemeriksaan kali ini bukan sahaja di premis di Persiaran Bayan Indah malah turut membabitkan sebuah lagi cawangan di pusat beli-belah di Persiaran Gurney.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada sijil halal rumah sembelihan atau milik syarikat lain dipamerkan dan tiada kesalahan dikesan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial.

Semakan status halal boleh dibuat melalui portal myehalal.halal.gov.my manakala aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal atau sijil SPHM boleh diajukan kepada Bahagian Pengurusan Halal JHEAIPP di talian 04-2505451 atau e-mel ehalal@penang.gov.my. – MalaysiaGazette

Sumber : Malaysia Gazette

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments