BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa negara yang merdeka dan berdaulat mesti bersatu dengan menghapuskan rasa kebencian, prasangka serta fahaman sempit perkauman, agama dan wilayah.
Menurutnya, pengalaman daripada Sidang Darurat Negara-Negara Islam dan Arab yang berlangsung di Doha, Qatar pagi semalam memberi pengajaran besar apabila Israel terus menyerang dan menghancurkan Gaza, Palestin serta Tebing Barat.
“Apa yang saya saksikan, kekuatan dunia Islam dan Arab masih sukar menandingi kekuatan Israel. Inilah pengajaran penting bahawa sebuah negara merdeka mesti berpadu tanpa mengira kaum, agama mahupun wilayah.
“Sikap pelampau sama ada bersifat perkauman, fanatik agama atau fahaman wilayah sempit mesti dibanteras untuk menjamin kelapangan hidup rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen PICCA Arena Butterworth, di sini pada Selasa.
Sambutan Hari Malaysia yang dihadiri lebih 10,000 masyarakat pelbagai kaum itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan cabaran utama kepimpinan negara adalah memastikan ekonomi terus melonjak melalui tatakelola yang baik.
“Kesilapan penjajah dahulu yang menyebabkan negara miskin dan diperkotak-katikkan tidak boleh berulang.
“Agenda pembaruan ekonomi mesti berjalan lebih lancar dan gagah bagi menjamin keselesaan semua rakyat,” jelasnya.
Beliau menzahirkan kesyukuran kerana Malaysia berada dalam keadaan stabil dan selamat berbanding apa yang berlaku di rantau lain.
Sumber : Sinar Harian

