KUALA LUMPUR: Pembangunan Rumah Bakat MADANI di Pulau Pinang adalah satu inisiatif penting yang melibatkan kerjasama sektor swasta, bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana dapat memiliki kediaman mampu milik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merangkumi kemudahan asas lengkap termasuk sekolah, taska, surau, ruang perniagaan serta kawasan landskap dan taman.
Projek itu dilaksanakan dengan penglibatan pemaju swasta, SkyWorld.
Beliau turut menekankan elemen pembangunan ‘sekolah menegak’ yang akan diintegrasikan bersama pemajuan perumahan itu sebagai langkah untuk menjamin keselamatan pelajar dan mengurangkan tanggungan kos pengangkutan keluarga.

“Prinsip ini merupakan fokus kerajaan kepada usaha untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dengan pembentukan sebuah kawasan kejiranan yang bersifat ihsan serta mampu memupuk pembangunan komuniti dengan nilai MADANI dan bukan sekadar kemegahan binaan dan reka bentuk.
“Saya tegaskan Kerajaan MADANI sentiasa menekankan kecepatan kelulusan dengan kerjasama merentas Kementerian dan Agensi serta dengan penglibatan Kerajaan Negeri,” katanya di laman sosial Facebooknya, hari ini.
Sumber : Buletin TV3

