BATU UBAN – Exco Belia & Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen mahu atlet-atlet daripada 50 pasukan yang menyertai Kejohanan Floorball Sekolah-sekolah Malaysia (KFSM) mampu memartbatkan sukan tersebut ke arah lebih tinggi.
Jelasnya, KFSM 2024 menjadi platform terbesar bagi sukan floorball yang masih dianggap baharu di Malaysia.
“Walaupun floorball tidak dipertandingkan peringkat Sukan Malaysia (SUKMA), namun tiga edisi Sukan SEA ia sudah dipertandingkan.
“Floorball sudah dipertandingkan pada Sukan SEA Singapura, Filipina dan Kemboja dengan Malaysia berjaya membawa pulang lima pingat gangsa daripada tiga kejohanan itu.
“Jadi saya harap atlet-atlet remaja di hadapan saya ini mampu memartabatkan sukan ini ke peringkat lebih tinggi dan menjadi pelapis kebangsaan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penutup KFSM di Kompleks Sukan Azman Hashim Universiti Sains Malaysia (USM) semalam.
Dalam kejohanan tersebut, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn (Johor) muncul juara lelaki bawah 15 tahun menewaskan SMK Bukit Bandaraya (Selangor).
SMK Tun Hussein Onn sekali lagi cemerlang kategori perempuan bawah 15 tahun apabila mengenepikan cabaran SMK Convent Green Lane.
Kategori lelaki bawah 12 tahun pula, Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Aminah (Johor) muncul juara dan SK Seri Gading (Johor) unggul di tempat pertama bagi kategori perempuan bawah 12 tahun.
SUMBER : BULETIN MUTIARA

