Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited membantu dan memudah cara pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua bernilai kira-kira RM3 bilion bagi memastikan projek strategik itu berjalan lancar.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Pakej 1 kini mencatat kemajuan 40.79 peratus dan dijangka siap pada Oktober 2027, manakala proses tender Pakej 2 hingga 5 disasarkan selesai pada hujung 2026 sebelum kerja bermula awal tahun depan.
Menurut beliau, projek berimpak tinggi itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 pengguna jalan raya setiap hari dengan membantu mengurangkan kesesakan di koridor Juru-Sungai Dua.
Projek tersebut mengadaptasi konsep pengasingan trafik tempatan dan trafik lebuh raya seperti di Jelapang, Ipoh, bagi mewujudkan aliran perjalanan yang lebih lancar dan terkawal.
Kon Yeow berkata, keseluruhan projek disasarkan siap pada akhir 2030 dan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim, dengan pemantauan serta mesyuarat diadakan secara berkala.
Kerajaan Negeri turut membantu dalam urusan pengambilan tanah dan pemindahan utiliti, manakala kesan penempatan semula adalah minimum dengan hanya tujuh gerai makanan dikenal pasti terjejas setakat ini.

