Penyertaan wanita dalam pembangunan ekonomi Pulau Pinang perlu dipertingkatkan dengan memberi peluang kepada mereka memainkan peranan lebih besar dalam industri bernilai tinggi serta menembusi pasaran serantau dan global, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Menurut beliau, pencapaian representasi wanita dalam kalangan usahawan di bawah visi Penang2030 kini mencecah 81 peratus, dengan jumlah usahawan wanita meningkat daripada 2,450 kepada 4,052 orang pada 2026.
Beliau mahu lebih banyak syarikat diterajui dan diasaskan wanita menyertai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E), selain mendapat akses lebih luas kepada pembiayaan, teknologi, bakat, mentor dan pasaran bagi meningkatkan skala perniagaan.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata cadangan sistem percukaian hibrid SST-GST perlu melalui kajian dan rundingan menyeluruh sebelum dilaksanakan kerana perubahan sistem cukai boleh memberi kesan kepada kos, aliran tunai serta perancangan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata demikian ketika menghadiri PWCC Business Scaling and Expansion Summit di George Town.

