Pulau Pinang mahu membangunkan lebih banyak projek pasaran karbon yang berwibawa, boleh diukur dan berdaya maju bagi mempercepatkan usaha penyahkarbonan, di samping membuka peluang pelaburan serta perniagaan baharu.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, kekuatan negeri dalam sektor perindustrian, teknologi dan ekosistem kelestarian menyediakan potensi besar dalam bidang tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, pemulihan biojisim dan sisa, penyahkarbonan industri serta ekonomi kitaran.
Menurut beliau, pasaran karbon perlu menjadi pelengkap kepada usaha sebenar mengurangkan pelepasan dan bukannya menggantikannya. Justeru, projek yang dibangunkan perlu menghasilkan pengurangan pelepasan yang boleh diukur dan disahkan serta mempunyai tahap ketelusan dan integriti yang tinggi.
Pulau Pinang turut bakal menjadi lokasi projek karbon biojisim berasaskan teknologi pertama Malaysia yang kredit karbonnya akan dilelong menerusi Bursa Carbon Exchange (BCX).
Kon Yeow berkata, Pulau Pinang kini perlu menghubungkan kekuatan pemain industri, syarikat teknologi, institusi kewangan, universiti, penyelidik dan pemaju projek bagi membina rangkaian projek karbon yang lebih kukuh.
Jika dilaksanakan dengan baik, pasaran karbon berpotensi menjadi sebahagian daripada ekonomi rendah karbon Pulau Pinang, menarik pelaburan dan teknologi baharu serta membantu industri sedia ada kekal berdaya saing di peringkat global.

