
Balik Pulau: Bomba melakukan pendakian dalam keadaan cuaca lebat selama satu jam bagi menyelamatkan lelaki Perancis yang tersesat di kawasan hutan Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini, awal pagi tadi.
Mangsa, Younes Oukali, 37, ditemukan dalam keadaan keletihan selepas dikatakan lebih tujuh jam tersesat dalam hutan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang, Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.20 malam tadi.
Katanya, operasi menyelamat turut mendapat bantuan daripada anggota BBP Balik Pulau.
“Pasukan penyelamat melakukan pencarian berpandukan lokasi yang dikongsi mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.
“Pencarian dilakukan dalam keadaan cuaca hujan lebat di kawasan berbukit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Faiz berkata, mangsa ditemukan pada 1.22 pagi.
“Mangsa kemudian diserah kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada 4.58 pagi,” katanya lagi.
Difahamkan, lelaki terbabit datang ke Pulau Pinang sejak seminggu lalu bagi tujuan melancong dan memasuki kawasan hutan berkenaan seorang diri, petang semalam.
Sumber : Harian Metro

