
GEORGE TOWN: Seorang jurutera sebuah jabatan kerajaan ditahan di sini, semalam, bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM13,000.
Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 30an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, jam 5 petang semalam.
Katanya, wang suapan berkenaan dipercayai diterima jurutera terbabit daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak di jabatan kerajaan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada pertengahan 2022. Dia telah menggunakan wang itu untuk membeli sebuah meja snuker dan sebuah meja ping-pong untuk ditempatkan di pejabatnya,” katanya.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di Georgetown esok bagi permohonan reman,” katanya.
Sumber : Berita Harian

