KUALA LUMPUR: Powertechnic Group Berhad semalam melancarkan prospektusnya bersempena dengan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, dengan sasaran meraih RM22.05 juta hasil daripada tawaran awam permulaan (IPO).
Syarikat yang memiliki pengalaman hampir 23 tahun dalam penyediaan sistem lif, kren, hoist, platform tinggi serta elevator itu akan menerbitkan 63 juta saham baharu pada harga terbitan 35 sen sesaham.
Hasil kutipan IPO akan digunakan bagi menubuhkan bilik pameran dan pejabat jualan baharu serta ruang stor (RM4.5 juta), membeli mesin automatik bagi memperkukuh kapasiti pengeluaran (RM3.8 juta), membayar balik pinjaman bank (RM2.8 juta), menampung modal kerja am (RM6.65 juta) dan kos penyenaraian (RM4.3 juta).
Pengarah Urusan Powertechnic, Ivan Na Keh Chai berkata, langkah penyenaraian itu menandakan permulaan baharu buat syarikat dalam memperkukuh kedudukan pasaran domestik dan serantau.
“IPO ini akan membolehkan kami meningkatkan keupayaan pengeluaran melalui automasi, mengukuhkan kehadiran pasaran di kawasan baharu seperti Pulau Pinang, Sarawak, Singapura dan Indonesia, serta terus menghasilkan sistem peningkatan nilai yang berdaya tahan lama. Kami komited mencipta nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan,” katanya pada sidang media pelancaran prospektus, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata Pulau Pinang dan Sarawak dikenal pasti sebagai lokasi strategik kerana pertumbuhan pesat sektor pembuatan di utara Semenanjung serta potensi pasaran di Kuching sejak 2009.
Selain pengembangan dalam negara, Powertechnic turut meneroka pasaran luar melalui pemasaran digital di Indonesia, manakala operasi di Singapura kekal kukuh dengan permintaan stabil.
Pengarah Eksekutif Powertechnic, Choo Chee Yong pula menegaskan pelancaran prospektus ini mencerminkan kerja keras pasukan syarikat dalam mengembangkan kapasiti dan melabur dalam automasi yang akan meningkatkan kecekapan serta nilai kepada pelanggan.
Industri peralatan pengendalian dan pengangkatan dijangka terus berkembang, disokong oleh Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang mensasarkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 6.5 peratus antara 2022 dan 2030, manakala segmen jentera industri am dan peralatan dijangka berkembang 8 peratus menjelang 2027.
Permohonan bagi saham terbitan awam ini dibuka semalam dan akan ditutup pada 14 Oktober, dengan tarikh penyenaraian rasmi di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijadualkan pada 28 Oktober 2025.
Selepas penyenaraian, Powertechnic dijangka mempunyai modal pasaran sebanyak RM108.62 juta berdasarkan harga terbitan 35 sen sesaham dengan jumlah saham terbitan diperbesarkan kepada 310.34 juta unit.
TA Securities Holdings Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO ini.
Sumber : Berita Harian

