GEORGE TOWN – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendahului senarai penerima darjah kebesaran sempena Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang bagi tahun ini.
Turut menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latiff dan Pengerusi Eksekutif MMAG Holdings Berhad, Datuk Wira Farhash Wafa Salvador.
Antara penerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang turut membawa gelaran Datuk Seri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, legenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei, yang kini Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara, Pengasas Kumpulan UWC Berhad, Datuk Ng Chai Eng dan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub.
Sementara itu, seramai 11 individu menerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) yang membawa gelaran Datuk antaranya Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman, Datuk Norazmi Mohd Narawi.
Bagi Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang juga membawa gelaran Datuk, seramai 118 penerima disenaraikan termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, Wan Nor Sakina Saad, Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Za’im Md Yudin, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Kenneth Yoong Ken Chinson St James, Pengurus Besar Akhbar Kwong Wah Yit Poh, Lee Hin Chan dan artis keadilan sosial, Gunabalan Krishnasamy.
Selain itu, seramai 85 individu akan menerima Darjah Johan Negeri (DJN) manakala 43 penerima menerima Bintang Cemerlang Negeri (BCN).
Penganugerahan turut melibatkan Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dengan 222 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dengan 371 penerima dan lain-lain pingat kehormatan, 641 penerima.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, istiadat penganugerahan akan berlangsung selama empat hari bermula 26 sehingga 30 Julai ini, melibatkan seramai 1,530 penerima, termasuk 150 penerima Darjah Kebesaran serta 1,380 penerima Bintang dan Pingat Kehormatan.
Menurutnya, majlis akan diadakan dalam empat sesi iaitu pada 26, 28, 29 dan 30 Julai di Dewan Sri Pinang.
“Majlis penganugerahan ini merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan negeri kepada individu yang telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang termasuk perkhidmatan awam, politik, korporat, badan bukan kerajaan, keusahawanan dan kerja sukarela,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sumber : Sinar Harian