Isu persimpangan Jalan Sungai Acheh menjadi antara perkara utama dibangkitkan ADUN Sungai Acheh, Dato’ Haji Rashidi Zinol dalam pertemuan bersama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Perkara itu memerlukan perhatian khusus terutama dari aspek keselamatan pengguna jalan raya, kelancaran trafik serta keperluan penduduk setempat.
Pertemuan tersebut turut menyentuh perkembangan isu larangan memancing di bawah jambatan.
Satu pertemuan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan komuniti pemancing akan diadakan bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.
Selain itu, perkembangan Koperasi Akuakultur Sungai Udang turut dibincangkan khususnya dalam usaha memperkukuh sektor akuakultur dan membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Rashidi berkata, tindakan susulan akan terus dilakukan bersama agensi berkaitan bagi memastikan perkara yang dibangkitkan dapat diterjemahkan kepada tindakan demi kepentingan rakyat Sungai Acheh.

