Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat daripada JKNPP yang diketuai Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang yang baharu, Dr. Zulhizzam bin Hj. Abdullah.
Pertemuan tersebut menjadi platform untuk bertukar pandangan serta membincangkan perkembangan dan isu berkaitan kesihatan awam di negeri ini. Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Puan Maheswari Malavandy dan Dr. Premalosini.
Menurut Mohamad, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan JKNPP amat penting bagi memastikan agenda pembangunan kesihatan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
Sinergi antara kedua-dua pihak akan terus diperkukuh dalam memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa berpaksikan keperluan rakyat, sekali gus membina Pulau Pinang yang lebih sihat, sejahtera dan berdaya tahan.

