Projek pembinaan Kereta Kabel Bukit Bendera kini mencatat kemajuan keseluruhan sebanyak 32 peratus, dengan kerja fizikal dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2027 sebelum operasi disasarkan bermula pada suku keempat tahun sama.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, perkembangan projek dapat dilihat menerusi lawatan pemantauan dari kawasan Kebun Bunga hingga ke puncak Bukit Bendera, termasuk pemasangan menara ketiga.
Menurut beliau, semua kerja bawah tanah kini telah diselesaikan dan projek memasuki fasa pembinaan di atas tanah yang dijangka membolehkan kemajuan dipertingkatkan.
Kerja bawah tanah sebelum ini berdepan cabaran keadaan geologi serta syarat teknikal ketat, termasuk larangan penggunaan jentera berat di kawasan Bukit Bendera sehingga sebahagian kerja terpaksa dilaksanakan secara manual.
Bagaimanapun, perkembangan semasa menunjukkan projek yang dimulakan di tapak sejak Januari 2025 itu terus berjalan dengan baik.
Projek bernilai RM250 juta melalui inisiatif perkongsian awam-swasta itu akan menghubungkan stesen bawah di kawasan Taman Botani, Kebun Bunga dengan stesen atas di Bukit Bendera.
Kereta kabel berkenaan bakal menjadi alternatif kepada sistem funikular sedia ada, selain meningkatkan akses ke Bukit Bendera dan memperkukuh daya tarikan kawasan peranginan ikonik tersebut sebagai antara destinasi pelancongan utama Pulau Pinang.

