UtamaBeritaLaluan Mutiara Pulau Pinang Terus Mencatat Kemajuan Dengan Pencapaian Beberapa Milestone Penting...

Laluan Mutiara Pulau Pinang Terus Mencatat Kemajuan Dengan Pencapaian Beberapa Milestone Penting Projek

Pembinaan Laluan Mutiara Pulau Pinang terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) berjaya mencapai beberapa pencapaian penting dalam pelaksanaan projek, sekali gus memperkukuhkan kemajuan pembinaan sistem metro pertama Pulau Pinang.

Sebagai pemilik aset dan pengurus projek, MRT Corp terus menerajui penyelarasan reka bentuk kejuruteraan, perancangan pembinaan, penyediaan tanah serta pelaksanaan sistem rel bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual.

Pada peringkat ini, tumpuan utama diberikan kepada penyediaan lukisan pembinaan terperinci bagi Civil Main Contract 1 (CMC1) yang meliputi pembinaan pile cap, tiang, jejambat dan stesen dari Silicon Island hingga KOMTAR. Bagi mempercepatkan pelaksanaan kerja, MRT Corp telah mengeluarkan lukisan rujukan pembinaan kepada kontraktor sementara reka bentuk terperinci dimuktamadkan.

Pendekatan pembinaan serentak dengan proses reka bentuk ini membolehkan kerja-kerja diteruskan tanpa perlu menunggu keseluruhan reka bentuk siap. Sehingga kini, sebanyak 45 pile cap dan 32 tiang jejambat telah berjaya dibina, manakala kerja pembinaan sedang dijalankan di 14 daripada 19 seksyen pembinaan yang dirancang di bawah pakej CMC1.

Pengambilan tanah bagi projek turut menunjukkan kemajuan yang baik hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi berkaitan. Sehingga kini, 93% daripada keseluruhan keluasan tanah yang diperlukan bagi pakej CMC1 telah tersedia untuk kerja pembinaan.

Satu lagi pencapaian penting ialah permulaan kerja-kerja penyiasatan tanah di Silicon Island, yang akan membuka laluan kepada pembinaan depoh pada jajaran tersebut.

Selepas tapak Tapak Pesta diserahkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada April 2026, MRT Corp telah menyiapkan kerja-kerja perobohan struktur lama dan penyediaan tapak, sekali gus membolehkan pembinaan dimulakan dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, MRT Corp turut menyelaras pelaksanaan kerja-kerja awam dengan sistem rel supaya kedua-duanya bergerak secara bersepadu dan selari ke arah penyediaan rangkaian metro yang lengkap dan beroperasi sepenuhnya.

Dengan kemajuan kerja awam yang semakin pesat, projek kini bersedia memasuki fasa baharu menerusi pelantikan Kontraktor Sistem Turnkey (STC).

MRT Corp mengumumkan penganugerahan kontrak System Turnkey (STC) bernilai RM3.028 bilion kepada usaha sama Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dan Theta Edge Berhad.

Pelantikan ini membolehkan reka bentuk terperinci sistem rel dilaksanakan serentak dengan kerja pembinaan awam agar keseluruhan projek dapat disiapkan mengikut perancangan.

Kontrak STC merangkumi tujuh pakej utama sistem rel, iaitu: Tren elektrik dan kelengkapan depoh.

Sistem isyarat, kawalan tren serta pintu platform automatik. Kerja landasan, rel konduktor dan kenderaan penyelenggaraan. Sistem bekalan serta pengagihan kuasa. Sistem SCADA rel dan Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer. Sistem telekomunikasi dan teknologi maklumat. Sistem kutipan tambang automatik.

Sementara itu, proses tender bagi Civil Main Contract 2 (CMC2) yang melibatkan jajaran dari KOMTAR ke Penang Sentral turut berjalan mengikut perancangan dan kini berada di peringkat penilaian tender. Kontrak tersebut disasarkan untuk dianugerahkan pada November 2026.

Kontraktor CMC1 juga terus menganugerahkan pelbagai pakej subkontrak bagi pembinaan stesen dan kerja berkaitan. Penyertaan syarikat Bumiputera di bawah pakej CMC1 kini telah melebihi 20% daripada nilai keseluruhan kontrak, sekali gus mencerminkan komitmen projek dalam memperkukuh penyertaan Bumiputera serta membangunkan keupayaan industri tempatan.

MRT Corp turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang atas kesabaran, kefahaman dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh pembinaan. MRT Corp komited melaksanakan projek ini secara bertanggungjawab sambil memastikan gangguan kepada orang ramai dapat diminimumkan.

RELATED ARTICLES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini
Captcha verification failed!
Skor pengguna captcha gagal. sila hubungi kami!
- Advertisment -
Google search engine

Most Popular

Recent Comments