Projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) Sungai Siam kini siap sepenuhnya dan dijangka menjadi penanda aras baharu dalam usaha pemuliharaan alam sekitar, pencegahan pencemaran serta pembangunan ekopelancongan berasaskan komuniti di Seberang Perai Selatan (SPS).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, pelaksanaan Program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) turut membantu memupuk rasa kepunyaan serta tanggungjawab masyarakat terhadap sungai dan alam sekitar.
Menurut beliau, DSK bukan sekadar menyediakan laluan riadah, malah merupakan sebahagian daripada pendekatan berasaskan alam semula jadi bagi memulihara biodiversiti, mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan kualiti persekitaran.
Projek Sungai Siam menyediakan laluan Crusher Run sepanjang 400 meter, denai konkrit 170 meter, tembok penahan, Dataran Kejat serta lintasan sepanjang 24 meter yang bakal memberi manfaat kepada lebih 400 penduduk setempat.
Kon Yeow berkata, siapnya DSK Sungai Siam melengkapkan pembangunan 57 denai sungai sepanjang keseluruhan 93.24 kilometer di Pulau Pinang di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) turut meluluskan Projek Pemuliharaan Sungai Juru di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bermula 2026 bagi menangani hakisan tebing, kerosakan infrastruktur dan pencemaran sampah.

