Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perkenalan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil, susulan pelantikan beliau yang berkuat kuasa pada 3 Ogos 2026.
Pertemuan tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak membincangkan hala tuju serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan negeri terus berjalan lancar demi kesejahteraan rakyat.
Menurut Kon Yeow, pengalaman lebih 32 tahun yang dimiliki Dato’ Dr. Jafri dalam bidang penyelidikan, dasar, perancangan strategik serta pengurusan bencana diyakini mampu menjadi aset penting dalam menerajui pentadbiran dan perkhidmatan awam negeri ke arah kecemerlangan.
Beliau berkata, sinergi yang erat antara kepimpinan politik dan pentadbiran akan terus diperkasakan bagi memastikan agenda pembangunan Pulau Pinang dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberi manfaat kepada rakyat.
Dato’ Dr. Jafri merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan berkelulusan Ijazah Kedoktoran Perhubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science (LSE), United Kingdom.
Sebelum pelantikan ini, beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Analisa), Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri, selain pernah menyandang pelbagai jawatan penting di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Ketua Menteri turut merakamkan ucapan tahniah dan mendoakan agar beliau dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan cemerlang.

