Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua (PTJSD) terus mencapai satu demi satu sasaran pelaksanaannya apabila ia merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 34.63% setakat 31 Julai 2026, selaras dengan jadual projek. Di tapak pembinaan, pelaksanaan kerja kini bergerak dengan baik di beberapa lokasi utama.
Kerja-kerja pengalihan utiliti telah mencapai 75%, dikuti kemajuan 68% bagi kerja geoteknikal di Jalan Tun Hussein Onn yang merangkumi pembinaan jambatan baharu, manakala kerja-kerja di Persimpangan Timur-Barat telah mencapai 48% sebagai persediaan kepada fasa pembinaan seterusnya.
Bagi mengekalkan momentum pelaksanaan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta pasukan perunding dan kontraktor projek terus mengoptimumkan aktiviti pembinaan melalui pelaksanaan kerja secara serentak di beberapa lokasi, lanjutan waktu bekerja termasuk pada hujung minggu serta penggunaan jentera berkapasiti tinggi bagi memastikan projek terus bergerak mengikut perancangan.
Seiring dengan kemajuan Pakej 1, PTJSD kini melangkah ke fasa seterusnya apabila proses tender Pakej 2 dan Pakej 5 telah pun bermula dan sedang berjalan. Perkembangan ini mencerminkan kesinambungan pelaksanaan projek dan komitmen PLUS dalam memastikan keseluruhan PTJSD dapat direalisasikan mengikut perancangan. Kemajuan yang dicapai setakat ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memastikan PTJSD dilaksanakan mengikut jadual.
Pembukaan tender bagi Pakej 2 dan Pakej 5 pula menjadi satu lagi langkah penting ke arah merealisasikan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan kesesakan di koridor Juru-Sungai Dua. PLUS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), LLM dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang. pihak berkuasa tempatan, kontraktor dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan setiap fasa projek dilaksanakan dengan selamat, cekap dan mengikut jadual.
Apabila siap kelak, PTJSD dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari dengan mengasingkan aliran trafik lebuh raya dan trafik tempatan, sekali gus mengurangkan masa perjalanan di koridor Juru-Sungai Dua daripada sekitar satu jam kepada kira-kira 20 minit serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang.

