Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkukuh agenda transformasi digital negeri menerusi sokongan berterusan kepada Digital Penang dalam memacu pembangunan ekonomi digital, inovasi teknologi serta pembentukan masyarakat yang lebih celik digital dan berdaya saing.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar dan berteraskan inovasi.
Beliau berkata demikian selepas menerima plak penghargaan khas daripada Ketua Pegawai Eksekutif Digital Penang, Ng Kwang Ming, sebagai tanda penghargaan atas khidmat beliau sebagai Pengerusi Digital Penang sepanjang enam tahun sejak agensi itu ditubuhkan.
Beliau menyifatkan pencapaian Digital Penang sepanjang tempoh tersebut sebagai hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, industri dan pelbagai pihak berkepentingan dalam memperkukuh ekosistem digital negeri.
Mengakhiri tempoh perkhidmatannya sebagai pengerusi, Chow menyatakan keyakinan bahawa Digital Penang akan terus berkembang di bawah kepimpinan baharu Zairil Khir Johari.
Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong inisiatif yang mempercepat transformasi digital, memperluaskan peluang ekonomi serta mewujudkan lebih banyak manfaat kepada rakyat dan komuniti perniagaan di Pulau Pinang

