Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) menerusi cadangan kerjasama strategik bersama Penang Digitalisation-AI Conference & Exhibition 2026 (PDX2026).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat delegasi PDX2026 yang diketuai oleh Pengerusi Penganjur, Lukas Tan Jian Meng, bagi membincangkan potensi kerjasama dalam memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai hab AI dan inovasi digital terkemuka di Asia Tenggara.
Menurut Chow, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mempercepat transformasi digital negeri melalui kolaborasi antara Kerajaan Negeri dan sektor industri.
Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan, pelabur, bakat berkemahiran tinggi serta komuniti untuk memanfaatkan perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan yang semakin pesat.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk terus menyokong pembangunan ekosistem digital yang inovatif selaras dengan aspirasi Penang2030, sekali gus mengukuhkan daya saing ekonomi negeri pada peringkat serantau dan global.
Kerjasama bersama PDX2026 diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi baharu, melahirkan lebih ramai tenaga mahir serta mempercepat pertumbuhan ekonomi digital yang mampan di Pulau Pinang.

