Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju industri halal negara menerusi penganjuran Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX 2026) yang menjadi platform strategik untuk merangsang pembangunan ekosistem halal serta memperkasa usahawan Bumiputera.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ekspo tersebut bukan sahaja mempromosikan produk halal, malah membuka lebih banyak peluang pelaburan, kerjasama perniagaan dan pembangunan industri halal di peringkat tempatan serta antarabangsa.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem halal menerusi pembangunan infrastruktur, pemerkasaan pensijilan halal, galakan pelaburan asing dan pembangunan usahawan.
Menurutnya, Pulau Pinang kini mempunyai tiga Penyedia Latihan Halal (PLH) yang diiktiraf JAKIM, selain tiga kawasan perindustrian halal yang memperoleh akreditasi HALMAS dengan keluasan hampir 198.62 ekar, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negeri sebagai hab industri halal berdaya saing.
Mohamad berkata, pencapaian Pulau Pinang dalam pensijilan halal terus menunjukkan peningkatan apabila negeri ini merekodkan 1,191 pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) pada tahun 2025, manakala sehingga 14 Julai 2026, sebanyak 853 pemegang sijil telah direkodkan.
Berdasarkan statistik JAKIM, Pulau Pinang turut menduduki tempat ketiga tertinggi di Malaysia bagi permohonan dan pemegang SPHM selepas Selangor dan Johor.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh industri halal sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi selaras dengan aspirasi Penang2030 dan Malaysia MADANI.

