Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda pembangunan mampan apabila Renesas Semiconductor (Malaysia) Sdn. Bhd. melancarkan Fasa 2 Projek Pemasangan Solar, melibatkan pembinaan parkir berbumbung panel solar yang merangkumi 211 petak parkir.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif tenaga boleh baharu itu dijangka mengurangkan kira-kira 720 tan pelepasan karbon dioksida (CO₂) setiap tahun, sekali gus menyokong usaha negeri mencapai sasaran pembangunan rendah karbon.
Beliau berkata, projek tersebut mencerminkan komitmen Renesas terhadap amalan pembuatan mampan yang selaras dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurutnya, pelaburan dalam tenaga bersih bukan sahaja meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan kos operasi jangka panjang, malah mengukuhkan daya saing industri semikonduktor Pulau Pinang.
Beliau turut memaklumkan bahawa di bawah aspirasi Penang2030, negeri ini menyasarkan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 25 peratus serta meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu kepada 10 peratus daripada campuran tenaga menjelang tahun 2030.
Dalam pada itu, Renesas turut mengumumkan rancangan untuk melabur tambahan RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang bagi memperluaskan keupayaan pembuatan produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), sekali gus mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Chow berkata, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan sektor swasta bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor, mempercepat peralihan kepada teknologi hijau serta memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab utama pembuatan berteknologi tinggi dan inovasi di rantau ini.

