Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memperkukuh ekosistem semikonduktor negeri dengan menyokong pertumbuhan syarikat teknologi tempatan serta memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar terus berdaya saing dalam rantaian bekalan global.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan syarikat tempatan seperti Mi Equipment membuktikan keupayaan bakat tempatan dalam menerajui industri berteknologi tinggi, selain mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab utama semikonduktor negara.
Beliau berkata, Mi Equipment yang diasaskan di Pulau Pinang bukan sahaja mencatat pertumbuhan memberangsangkan dalam industri semikonduktor, malah turut memberi penekanan kepada pembangunan modal insan apabila 99 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada rakyat Malaysia.
Menurutnya, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penglibatan syarikat tersebut dalam inisiatif Penang Automated Test Equipment (ATE) Campus, yang dijangka mempercepat pembangunan penyelesaian semikonduktor tempatan serta mengukuhkan kerjasama antara syarikat multinasional dan syarikat tempatan.
Chow berkata, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, Kerajaan Negeri kekal komited menarik pelaburan strategik, memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan antarabangsa serta membangunkan ekosistem industri yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI).
Beliau turut menggalakkan syarikat tempatan terus melabur dalam inovasi, automasi, pendigitalan dan pembangunan bakat bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pembuatan semikonduktor dan teknologi maju yang berdaya saing di peringkat global.

