Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan dengan menjadikan penyelidikan dan inovasi sebagai pemacu utama pembangunan sektor agromakanan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kewujudan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Padi (rice@MARDI) Seberang Perai membuktikan peranan penting Pulau Pinang bukan sahaja sebagai hab perindustrian dan teknologi, malah sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan pertanian bertaraf nasional yang menyokong keselamatan makanan negara.
Beliau berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1964, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memainkan peranan besar dalam mentransformasikan industri padi negara melalui penyelidikan dan penghasilan varieti padi berprestasi tinggi.
Beliau turut meninjau bank benih padi yang menyimpan koleksi benih sehingga 15 tahun serta menegaskan bahawa penyelidikan berterusan penting bagi meningkatkan hasil pengeluaran, pendapatan pesawah dan daya saing sektor pertanian negara.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus memperkasa sektor agromakanan selaras dengan aspirasi Penang2030, termasuk sasaran meningkatkan produktiviti pertanian sebanyak 20 peratus menjelang tahun 2030.
Beliau turut berharap kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri dan MARDI diperkukuhkan, khususnya dalam pembangunan jagung bijian, pertanian tepat (precision agriculture), mekanisasi, tanaman bernilai tinggi dan teknologi pascatuai bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada import makanan serta menarik lebih ramai golongan muda menceburi sektor pertanian moden.

